Akhbar China Press
baru-baru ini mengeluarkan sebuah artikel menarik yang diterjemahkan oleh
malaysianchinesenews.com sebagai ‘SingleStream Education Not The Key To Foster Unity’, atau dalam Bahasa Melayu
bermaksud ‘Aliran Pendidikan Tunggal Bukan Kunci Untuk Menggalakkan Penyatuan’.
Terdapat beberapa perkara yang ditimbulkan di dalam artikel berkenaan yang
ingin diulas oleh penulis. Jadi disini penulis memohon keizinan untuk
menjelaskan beberapa perkara seperti yang telah dibangkitkan di dalam artikel berkenaan.
1. Bahasa Ibunda Masih Diajar di Sekolah Kebangsaan
China
Press memulakan artikel tersebut dengan kata-kata “Accepting education in mother tongue is the fundamental human right”.
Di negara ini, tiada siapa pun yang dihalang untuk menggunakan dan mempelajari
bahasa ibunda masing-masing atau bahasa asing yang lain. Disebabkan itulah di
Sekolah Kebangsaan, subjek bahasa tambahan seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa
Tamil sebagai Bahasa Komunikasi ditawarkan untuk diajar kepada para pelajar
yang terlibat. Bahkan bahasa-bahasa suku kaum seperti Bahasa Iban dan Bahasa
Kadazan-Dusun juga turut ditawarkan. Tambahan lagi, subjek-subjek bahasa
tambahan ini turut ditawarkan untuk dinilai di dalam peperiksaan tahap
tertinggi negara iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)! Jadi sekiranya Bahasa
Ibunda bukan Melayu diajar di Sekolah Kebangsaan, apa lagi alasan untuk menolak
Sekolah Kebangsaan?
2. Precedent
Case Berkenaan Status Sekolah
Vernakular
China Press kemudiannya menambah “The right is also accorded under the Federal Constitution which cannot
be shaken”. Jika kenyataan ini merujuk kepada status Sekolah Vernakular,
pernyataan tersebut walau bagaimanapun boleh dipertikaikan dan jelas
bertentangan dengan keputusan Mahkamah di dalam kes PP v Mark Koding yang telah
memutuskan bahawa ‘there is nothing in
proviso (a) to Article 152(1) (of the Federal Constitution) to justify the
extension of the protection to the operation of schools where the medium of
instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English’ dan ‘accused is not guilty of sedition when he advocates for the closure of
Tamil or Chinese schools’. Selain itu, keputusan kes Universiti Merdeka
Berhad vs Kerajaan Malaysia, Mahkamah telah memutuskan “teaching in Chinese there would be using Chinese for an official
purpose, and therefore it is not protected by the bracket words in proviso (a)
of Article 150(1), and that on the contrary it would be prohibited”.
3. Status Berbeza Sekolah Agama dengan Sekolah Vernakular
China Press menyatakan “However, on and off, there will be someone with ulterior motive to
accuse vernacular education as the stumbling block to national unity.”
Agaknya China Press terlupa untuk menegaskan bahawa terdapat juga pihak yang
sering menuduh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama sebagai penghalang
perpaduan biarpun status Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama adalah jelas di sisi
Perlembagaan Persekutuan. Mengapa hanya pendidikan vernakular sahaja yang
dipertahankan? Bagaimana pula pandangan China Press berhubung kenyataan negatif
mengenai Sekolah Agama oleh seorang Timbalan Presiden (bukan Melayu) sebuah
parti politik yang kononnya berteraskan Malaysia pada awal tahun ini? Sedangkan
berbeza dengan status Sekolah Vernakular, status Sekolah Agama jelas dilindungi
di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan. Dan para pelajar hanya
mengikuti sesi pembelajaran di Sekolah Agama setelah tamat sesi pembelajaran di
Sekolah Kebangsaan dan bukannya menolak Sekolah Kebangsaan secara
keseluruhan.
4. Silibus dan Peperiksaan Berbeza di Sekolah Vernakular
China Press menyatakan “For education to have its impact on national integration, it should be
a common education content, common value and shared patriotism.” Masalahnya
disini adalah, pengajaran yang di ajar di Sekolah Vernakular bukan sahaja
berbeza bahasa pengantar, malahan silibusnya juga berbeza. Tambahan lagi para
pelajarnya juga akan mengikuti peperiksaan tinggi yang juga berbeza dan
terpisah dari peperiksaan awam negara iaitu Unified
Certificate Exam (UCE). Jadi bagaimanakah integrasi nasional dapat dipupuk
berdasarkan kesamaan kandungan pendidikan seperti yang dinyatakan oleh China
Press?
5. Tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Untuk Kaum Bumiputera
China Press menyatakan lagi “The crux of national integration lies with whether the government is
fair to all ethnic groups in its implementation of policies, respect and defend
the basic rights of all ethnic groups.” Keadilan bagaimana pula yang
dimahukan oleh China Press kepada semua kumpulan etnik? Di negara ini, tidak
wujud permintaan dari kaum-kaum Bumiputera untuk mewujudkan pendidikan
vernakular khas semata-mata untuk etnik masing-masing. Tidak wujud pun
SJK(Orang Asli), tiada SJK(Iban), tiada SJK(Kadazan) dan sebagainya. Majoriti
kaum-kaum bumiputera ini menyokong dan menghantar anak masing-masing ke Sekolah
Kebangsaan. Bahkan tiada mana-mana kaum pun termasuklah bukan Bumiputera yang
didiskriminasikan atau dihalang untuk belajar dan menuntut di Sekolah
Kebangsaan. Justeru itu dengan pengorbanan mereka yang lebih toleran untuk
menyokong Sekolah Kebangsaan berbanding mengutamakan etnik masing-masing,
bukankah sewajarnya peruntukan untuk pendidikan perlu diutamakan kepada Sekolah
Kebangsaan?
6. Sekolah Kebangsaan Menggalakkan Integrasi, Bukannya
Asimilasi
China Press menyatakan lagi “Instead of relying on assimilation policies to achieve national
integration”. Penulis kira tuduhan berkenaan polisi asimilasi ini agak
berat. Pernahkah dijumpai masyarakat Cina tempatan yang dihalang secara
perundangan daripada menggunakan nama Cina dan bahasa ibundanya seperti yang
pernah berlaku di Thailand dan Indonesia? Sedangkan di negara kita, kewujudan
akhbar-akhbar, saluran radio dan televisyen berbahasa Cina dan Tamil yang cukup
banyak sejak sekian lama membuktikan bahawa negara kita amat-amat bertoleransi
dan tidak menekankan sebarang dasar paksaan asimilasi khususnya kepada
masyarakat bukan Bumiputera.
7. Sekolah Kebangsaan Menggalakkan Interaksi Antara Kaum
China Press menyatakan lagi “In the 90s the Education Ministry implements student interaction unity
project for schools of all streams to integrate through extra-curricular
activities. This enhances understanding and interaction among students of all
races.” Mungkin penulisnya terlupa, pada tahun 90an juga, Kerajaan cuba
memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan iaitu pengekalan tiga aliran sekolah yang
berlainan tetapi berkongsi beberapa kemudahan dalam premis yang sama untuk
menggalakkan interaksi antara pelajar berbilang kaum. Tetapi malangnya usaha
murni ini pun gagal dan ditentang habis-habisan. Jadi penulis ingin bertanya
sejauh manakah berjayanya proses interaksi antara pelajar yang berlainan kaum
ini dapat dicapai sekiranya mereka hanya bertemu di dalam projek-projek
tertentu? Adakah Sekolah Kebangsaan perlu dipersalahkan apabila jumlah pelajar
Bumiputeranya menjadi dominan sedangkan kaum-kaum bukan Bumiputera sendiri
enggan menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sana?
8. Tiada Sekolah Vernakular di Singapura
Untuk penutup, penulisnya menyatakan “Single stream education is an outdated concept without knowing the
trend and development in the world”. Tokoh agung Singapura, mendiang Lee
Kuan Yew pada awal pembentukan republik berkenaan dengan tegas telah bertindak
untuk menutup sekolah-sekolah Cina dan Universiti Nanyang di sana dengan tujuan
untuk menyatu-padukan rakyatnya di bawah satu sistem pendidikan tunggal agar
dapat melahirkan masyarakatnya yang berfikir dan bertindak sebagai rakyat
Singapura. Dan dasar berkenaan masih lagi berjalan dan diteruskan sehingga kini
dan tidak dianggap sebagai ketinggalan zaman biarpun beliau telah beberapa
tahun meninggal dunia. Ada apa-apa komen mengenai perkara ini?
No comments:
Post a Comment