Jika
ditanya kaum manakah yang paling malang di dunia ketika ini, sudah pasti
jawapannya adalah Rohingya. Mereka inilah sebenar-benarnya contoh warganegara
yang dilayan sebagai kelas kedua oleh Kerajaan negara mereka. Malahan lebih
teruk lagi, tidak diiktiraf langsung sebagai warganegara oleh Junta tentera
Myanmar. Penderitaan mereka kalaupun tidak setara, mungkin lebih teruk daripada
nasib penduduk asal yang dijajah seperti Palestin, Melayu-Patani dan sebagainya.
Jika
ditelusuri sejarah kewujudan kaum Rohingya di Myanmar, mungkin terdapat sedikit
persamaan dengan sejarah kewujudan negara kita. Secara ringkasnya dapat
diterangkan, pada era zaman penjajahan dahulu, Myanmar (atau Burma) adalah
sebahagian daripada empayar British-India. Justeru itu, tidak menghairankan
sekiranya wujud kaum Rohingya yang lahir dan membesar di wilayah Arakan/Rakhine, Burma,
yang terletak bersempadan dengan wilayah Bengal (Bangladesh dan East Bengal) tetapi
mereka berketurunan Benggali. Bahasa dan budaya kaum Rohingya adalah lebih
hampir dengan Benggali berbanding Burma. Namun begitu, untuk mendakwa bahawa
kesemua Rohingya adalah Benggali dan hanya wujud mulai era penjajahan British di India dan Myanmar adalah
tidak tepat kerana terdapat rekod yang menunjukkan kewujudan mereka lebih
awal sebelum itu di Arakan. Maklumat lanjut boleh dirujuk pada buku Air Mata
Kesengsaraan Rohingya (seperti dia atas) tulisan Azharudin Mohamed Dali dan Azalinariah Abdullah terbitan
Inteam Publishing yang menerangkan perkara ini dengan lebih terperinci.
Sama
seperti negara kita yang pernah dijajah British satu ketika dahulu, penjajah
British telah membawa masuk ramai imigran dari tanah jajahannya di India serta
selatan China untuk bekerja sebagai buruh di Tanah Melayu. Namun begitu, untuk mengatakan
bahawa kaum Cina dan India hanya mula wujud di Tanah Melayu ketika era
penjajahan British juga adalah tidak tepat kerana kewujudan kaum Cina dan India
telah dapat dikesan sejak era Kesultanan Melayu Melaka lagi. Bezanya adalah
kehadiran awal kaum Cina dan India di Tanah Melayu, mereka telah berasimilasi
dengan penduduk setempat hingga melahirkan kaum peranakan seperti Baba-Nyonya,
Chettiar, dan sebagainya berbanding dengan gelombang kedua kehadiran kaum Cina
dan India yang tidak berasimilasi dengan budaya tempatan.
Ketika
negara kita ingin mencapai kemerdekaan, salah satu isu yang timbul adalah
berkenaan dengan nasib, kebajikan serta masa depan imigran dari China dan India
di Tanah Melayu. Namun begitu, atas dasar budi bicara dan tolak ansur oleh
Kerajaan yang diterajui oleh bumiputera tempatan, mereka telah sanggup berkorban
dengan menerima kaum Cina dan India yang berbeza sama sekali bahasa, budaya dan
agama sebagai saudara mereka di dalam negara Malaya yang merdeka. Biarpun
tindakan tersebut telah mengakibatkan demografi mereka sebagai kaum majoriti
turun mendadak dalam masa semalaman sahaja. Lebih luar biasa, kaum-kaum imigran
ini tidak dipaksa untuk berasimilasi dengan budaya tempatan. Tidak perlu
menukar nama Liem Siow Liong menjadi Sudomo Salim sebagaimana di Indonesia, tidak
perlu meminda nama Lin Minda menjadi Sondhi Limthongkul sebagaimana di
Thailand. Hanya diminta agar kaum-kaum imigran ini dapat berintegrasi dan menghormati bumiputera tempatan serta menumpahkan taat setia mereka kepada negara ini sebagai
tanah tumpah darah mereka. Tidak ada pun orang Melayu yang bising dan sibuk
meminta supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat pemberian kad
pengenalan IC secara besar-besaran kepada kaum-kaum imigran ketika kemerdekaan.
Tetapi sebagai galang gantinya, kaum Melayu diberikan hak keistimewaan di dalam
beberapa perkara untuk melindungi kebajikan dan kepentingan mereka sebagai
pribumi asal.
Berbeza
dengan negara Burma yang merdeka pada 04 Januari 1948 dan kemudiannya menukar nama negara
mereka kepada Myanmar. Mereka enggan mengiktiraf kewujudan Rohingya yang
dianggap sebagai kaum pendatang dari Bangladesh, sedangkan kaum Rohingya ini lahir dan tinggal di wilayah Arakan. Salah satu faktor adalah disebabkan
perbezaan bahasa, budaya serta agama kaum Rohingya selain daripada jumlah kaum
mereka yang ramai dibimbangi akan menjejaskan demografi Myanmar. Keadaan ini
telah menyebabkan kaum Rohingya menjadi rakyat tanpa warganegara yang terpaksa
menagih simpati negara-negara berjiran untuk mengelakkan diskriminasi oleh
penduduk Myanmar. Ini kerana berikutan status mereka yang tidak diiktiraf
sebagai warganegara di negara sendiri, mereka telah ditindas dengan begitu
teruk, dirogol dan dibunuh sesuka hati tanpa sebarang pembelaan.
Memandangkan
negara kita secara kebetulan telah dilantik sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun
ini, sewajarnya negara kita bertegas supaya Myanmar menyelesaikan isu pelarian
Rohingya ini dengan tegas dan bukannya melepaskan tanggungjawab berkenaan kepada
negara lain seperti Bangladesh, Malaysia atau Indonesia untuk menerima dan menjaga kebajikan rakyat mereka. Aung San Suu
Kyi yang selama ini berbangga sebagai penerima Anugerah Nobel Keamanan perlu
didesak agar menyatakan pendirian berhubung status rakyat Myanmar ini yang dinafikan hak kewarganegaraan hanya kerana perbezaan warna kulit, bahasa dan agama. Jalan penyelesaiannya? Apa kata
diikuti contoh formula Malaysia.
Berikan
status kewarganegaraan Myanmar kepada penduduk Rohingya ini. Tetapi pada masa
yang sama, kaum Burma diberikan kelebihan hak keistimewaan untuk melindungi
kepentingan mereka sebagai kaum majoriti berbanding kaum Rohingya. Pemberian
hak keistimewaan kepada sesuatu sesuatu kaum ini walaubagaimanapun bukanlah bermaksud
kaum yang lain boleh ditindas dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana di negara
kita, walaupun kaum Bumiputera seperti Melayu, Orang Asli, Dayak Sarawak,
Kadazan-Dusun-Murut dan sebagainya diberikan hak keistimewaan dan kelebihan berbanding
kaum-kaum lain, namun hak kaum-kaum bukan bumiputera tetap dihormati dan
dilindungi. Sebagai contoh, sehingga kini Kerajaan Pusat masih bertegas mempertahankan
kewujudan sekolah vernakular bersama-sama akhbar bukan berbahasa Melayu dan
persatuan-persatuan suku kaum Cina bagi menghormati hasrat kaum minoriti keturunan
imigran yang masih kental ingin mempertahankan warisan budaya dan bahasa asal
nenek moyang mereka.
Oleh
itu, kepada pihak-pihak yang seringkali gemar mengapi-apikan isu perkauman
dengan mendakwa mereka warganegara kelas kedualah, ketigalah, dan sebagainya, ingatlah
bahawa negara Malaysia yang tercinta ini ditubuhkan dan dibangunkan atas dasar
semangat persaudaraan, perjanjian persefahaman dan tolak ansur antara kaum. Sekiranya benar mereka dilayan sebagai warganegara kelas kedua selama ini, sudah tentu mereka senasib dengan kaum Rohingya yang terapung-apung di lautan menanti ehsan negara-negara asing yang sudi menerima kehadiran mereka. Sedangkan realitinya di Malaysia, jika dilihat pada senarai bilionair di negara ini, majoritinya adalah terdiri daripada kaum bukan Bumiputera!
Walau apa pun, penyelesaian yang dicadangkan dalam artikel ini bagi mengatasi isu masalah pelarian Rohingya ini tetap akan tinggal cadangan sahaja, kerana seperti kata mendiang Tun V.T. Sambathan, tiada bangsa lain di dunia ini yang bertoleransi seperti bangsa Melayu di Malaysia yang sanggup menerima jutaan rakyat imigran yang berbeza bangsa, bahasa dan agama sebagai rakyat negara mereka dan hidup bersama secara perkongsian kuasa.
Walau apa pun, penyelesaian yang dicadangkan dalam artikel ini bagi mengatasi isu masalah pelarian Rohingya ini tetap akan tinggal cadangan sahaja, kerana seperti kata mendiang Tun V.T. Sambathan, tiada bangsa lain di dunia ini yang bertoleransi seperti bangsa Melayu di Malaysia yang sanggup menerima jutaan rakyat imigran yang berbeza bangsa, bahasa dan agama sebagai rakyat negara mereka dan hidup bersama secara perkongsian kuasa.
No comments:
Post a Comment